Friday, January 16, 2009

Panduan Bersuci

Pengertian Bersuci
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan yang suka menyucikan diri." (Al-Baqarah: 222)

Bersuci atau At-Thoharah ialah suatu pekerjaan yang dilakukan bagi menghilangkan hadas atau najis yang ada di badan, pakaian atau tempat tinggal kita. Ia mesti dibersihkan supaya kita boleh melakukan ibadah. Dalam ajaran agama Islam bersuci adalah sesuatu yang wajib. Sebahagian dari cara bersuci ialah berwuduk, mandi dan membersihkan najis dari badan.

Jenis-jenis Bersuci

i. Bersuci dari hadas kecil.
Apabila berada dalam keadaan begini kita dilarang dari mengerjakan sembahyang dan
menyentuh al-Quran. Cara untuk membersihkannya ialah dengan mengambil wuduk ataupun
bertayammum.

ii. Bersuci dari hadas besar.
Mereka yang berjimak, haid dan nifas adalah termasuk dalam golongan ini. Cara bersuci
darinya ialah dengan mandi junub. Perkara yang ditegah dari melakukannya seperti sembahyang, puasa menunaikan haji, 'iktikaf di dalam masjid dan menyentuh atau membaca al-Quran.

iii. Beristinjak.
Ia bertujuan bagi menghilangkan najis yang keluar dari 2 saluran iaitu qubul dan dubur.

Beristinjak Dan Rukunnya - Ada 3
i. Islam
ii. Menggunakan air, batu, kertas, daun dan benda-benda keras yang suci.
iii. Najis itu mestilah keluar dari qubul dan dubur.

Sunat-sunat Istinjak
i. Haruslah dilakukan dengan bilangan yang ganjil seperti 3x atau 5x atau 7x dan seterusnya.
ii. Menggunakan tangan kiri.

Beristinjak Dengan Batu
Syarat-syarat menggunakan batu atau lain-lain benda yang keras ialah;
i. Pastikan najis itu tidak mengalir.
ii. Pastikan najis masih belum kering.
iii. Pastikan tempat keluar najis itu tidak terhalang oleh benda-benda lain.

Beristinjak Dengan Air
Perlakunya adalah lebih kurang serupa dengan menggunakan batu. Terlebih daulu mestilah dibersihkan sehingga hilang 3 perkara iaitu bau, warna dan rasa. Apabila selesai disunatkan membaca doa.

Benda-benda Bernajis
i. Semua jenis bangkai binatang darat dan laut yang berdarah melainkan mayat manusia.
Binatang darat dan laut yang tidak berdarah dianggap suci.
ii. Darah kecuali hati dan limpa.
iii. Semua jenis benda yang keluar dari qubul dan dubur.
iv. Nanah kerana ia terhasil dari darah yang kotor.
v. Arak dan semua minuman yang memabukkan.
vi. Bahagian binatang yang diambil dari badannya semasa ia masih hidup.

Jenis-jenis Najis
i. Najis Mughallazah
Iaitu anjing dan babi serta segala anggota tubuh badannya. Cara hendak menyucikannya ialah
dengan menyiram sekali air tanah atau air lumpur dan 6 kali dengan air yang bersih.

ii. Najis Mukhalffafah
Ialah najis ringan seprti air kencing anak lelaki yang berumur 2 tahun ke bawah dan hanya
memakan susu ibunya sahaja. Cara menyucikannya ialah memadai dengan memercikkan air
ke atas benda yang terkena najis itu kemudian lapkannya.

iii. Najis Mutawassitah
Ialah najis pertengahan. Najis ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu;

a) Hikmiah adalah najis yang kita yakini adanya tetapi tidak nyata zatnya seperti air kencing
yang sudah lama kering hinggakan sifatnya sudah hilang. Najis ini dicuci dengan
mengalirkan air ke atasnya.

b) Ainah adalah najis yang masih ada zatnya. Najis ini dicuci dengan menghilangkan dan
membersihkan semua zatnya.

Jenis-jenis Air
i. Air Mutlak.
Sifatnya air ini adalah suci lagi menyucikan. Ia boleh diminum dan sah untuk digunakan bagi
menyucikan benda lain. Contohnya iar hujan, laut, perigi, air mata air, salji, sungai dan air
embun.

ii. Air Muqayyat.
Sifatnya suci tetapi tidak boleh menyucikan. Air ini tidak sah digunakan untuk menyucikan
benda lain seperti air kopi, teh, air buah-buahan dan sebagainya.

iii. Air Muttannajis.
Air ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu:

a) Telah berubah salah satu sifatnya iaitu warna, bau dan rasa dengan najis. Air ini tidak
boleh digunakan lagi sama ada ianya banyak atau sedikit.

b) Air bernajis tetapi tidak berubah sifatnya. Air ini jika kurang dari 2 kolah tidak boleh
digunakan lagi tetapi jika 2 kolah atau lebih maka hukumnya suci dan menyucikan.

iv. Air Musyammas.
Ialah air yang terjemur di tengah pancaran matahari dalam bekas selain dari bekas emas
dan perak. Ianya makruh digunakan untuk badan tetapi tidak untuk pakaian.

v. Air Mustaghmal.
Ialah air yang telah digunakan untuk menyucikan benda-benda lain dan sukatannya pula
kurang dari 2 kolah. Air ini tidak sah digunakan untuk bersuci walaupun tidak berubah
sifatnya.



Thursday, January 15, 2009

Kesimpulan Surah Dari Al-Quran

13. AR-RA'DI (Guruh)
Surah Ar-Ra'di terdiri dari 43 ayat dan termasuk dalam golongan surah Madaniyah. Surah ini dinamakan dengan Ar-Ra'di kerana terdapat perkataannya pada ayat 13 yang bererti, "Dan guruh itu bertasbih memujiNya". Sesuai dengan sifat al-Quran itu sendiri yang mengandungi unsur-unsur ancaman dan memberi harapan kepada manusia maka yang demikian itulah surah ini dinamakan Ar-Ra'di, tatkala guruh bergema di langit maka ia akan mencetuskan kecemasan dan harapan kepada manusia.

Bimbingan Allah terhadap umat manusia adalah berkait rapat dengan hukum sebab dan akibat dan Allah juga tidak memilih bulu atau kasih dalam menetapkan hukumannya. Segalanya adalah berdasar kepada ketaatan ataupun keingkaran sesuatu umat terhadap hukumNya.

Di antara pengajaran yang terdapat dalam surah ini adalah seperti Allah lah yang telah menciptakan alam ini dan menguruskannya. Ilmu Allah mencakupi segalanya dan adanya malaikat Hafazah yang sentiasa memelihara manusia.

Manusia dilarang dari mendoakan yang buruk-buruk atau kejahatan untuk dirinya dan mereka juga dilarang dari melakukan perbuatan yang mungkar serta kewajipan untuk mencegah kemungkaran itu sendiri.

Disebutkan juga kisah dan pengalaman beberapa orang nabi terdahulu. Akhir sekali Allah menegaskan yang ia tidak akan mengubah nasib sesuatu umat melainkan mereka mengubahnya sendiri.

14. IBRAHIM (Kisah/Doa Nabi Ibrahim)

Surah Ibrahim mengandungi 52 ayat dan terdiri dari surah Makiyah. Dinamakan dengan Ibrahim kerana terdapat doa Nabi Ibrahim di dalamnya pada ayat 35 - 41. Antara maksud kandungan doa Ibrahim itu ialah permintaannya kepada Allah agar dikurniakan keturunan yang sentiasa mendirikan solat dan tidak menyembah kepada patung-patung atau berhala. Diminta juga supaya negeri Mekah dan daerah di sekitarnya menjadi sebuah negeri yang aman dan makmur. Doa ini dipanjatkan oleh Ibrahim ketika selesai mendirikan bangunan Kaabah bersama puteranya Ismail a.s.

Antara pengajaran dari surah ini, Allah menerangkan al-Quran itu adalah pembimbing manusia ke jalan kebenaran dan keingkaran manusia dari mengikutinya sedikit pun tidak akan menjejasNya. Semua para nabi dan rasul telah diberikan mukjizat di atas keizinanNya dan Allah berkuasa mematikan dan menghidupkan semula manusia dalam dunia yang baru.

Dalam surah ini juga Allah telah memerintahkan supaya tetap dalam mendirikan solat serta menafkahkan sedikit dari hartanya ke jalan Allah.

Dalam surah ini juga terdapat kisah Nabi Musa a.s. dan sebab-sebab kenapa setiap rasul diutus dengan bahsa kaumnya sendiri. Diceritakan juga tentang kejadian langit dan bumi berserta hikmahnya dan juga bermacam-macam nikmat yang telah dianugerahkan kepada manusia.

15. AL-HIJR (Nama sebuah daerah)

Surah ini mengandungi 99 ayat dan diturunkan di Mekah. Al-Hijr adalah nama sebuah daerah di pergunungan yang pernah didiami oleh kaum Samud (umat Nabi Saleh) terletak di pinggir jalan antara Madinah dan Syam (Syria). Nama surah ini diambil dari nama tempat tersebut kerana berhubungan dengan nasib penduduk pergunungan tersebut yang telah dimusnahkan oleh Allah kerana mendustakan Nabi Saleh serta berpaling dari ayat Allah dan kisahnya terdapat pada ayat 80 - 84. Dalam surah ini juga diceritakan tentang umat-umat nabi lain yang telah dibinasakan seperti umat Nabi Luth dan umat Nabi Syu'aib.

Pengajaran yang terdapat di dalam surah ini ialah seperti syaitan tidak akan dapat menaiki alam malakut kerana ia sentiasa dijaga oleh malaikat. Kadar rezeki yang diebrikan oleh Allah kepada setiap hambanya mengikut kebijaksanaanNya dan semua manusia akan dihimpunkan pada hari kiamat serta perintah melakukan ibadah kepada Allah selama hayatnya.

Di dalam surah ini juga terdapat larangan melakukan homeseksual dan mengambil harta orang kafir. Allah juga telah memerintakan Nabi Muhammad s.a.w. menyampaikan dakwah secara terang-terangan kepada kaum kafir Quraisy dan jangan berputus asa terhadap kerenah mereka.

16. AN-NAHL (Lebah)

Surah ini mengandungi 128 ayat dan terdiri dari surah Makiyah. Surah ini dinamakan An-Nahl (lebah) kerana terdapat firman Allah paada ayat 68 yang bermaksud, "Dan Tuhanmu telah mewahyukan kepada lebah". Lebah adalah makhluk Allah yang banyak memberi manfaat kepada manusia di mana madu bunga yang dikumpul oleh lebah tersebut dari berbagai jenis bunga-bungaan boleh menjadi ubat dan merawati berbagai jenis penyakit dalaman serta baik untuk kesihatan manusia. Demikian jugalah dengan al-Quran sebagai kiasannya yang boleh merawati penyakit hati manusia serta mendorong ke arah jalan hidup yang sihat dan sempurna.

Di dalam surah ini terdapat berbagai hukum serta larangan kepada manusia antaranya mengenai makanan dan minuman yang dihalalkan dan diharamkan, membolehkan memakan makanan yang haram di waktu darurat atau terpaksa, menggunakan kulit dan bulu haiwan yang halal dimakan, membolehkan memakai perhiasan dari lautan seperti mutiara dan marjan, kewajipan memenuhi janji, larangan mempermainkan sumpah, larangan membuat sesuatu hukum yang tiada asas dasarnya dan larangan membalas seksaan melebihi dari kadar yang diterima.

Surah ini juga menyentuh mengenai nasib pemimpin palsu di hari kiamat kelak dan sikap orang jahiliah Arab terhadap anak perempuan mereka.

MAKMUM MUWAFIQ & MASBUQ

Makmum Muwafiq
Makmum Muwafiq ialah makmum yang dapat membaca surah fatihah dalam masa berdiri imam dengan kiraan pertengahan / sederhana maka wajib ke atas makmum membaca fatihah dengan sempurna.

Sebab-sebab Muwafiq
  1. Makmum yang lambat membaca kerana kelemahan semulajadi.
  2. Makmum yang syak sebelum rukuk dan kemudian dari rukuk imam lalu ia teringat yang ia belum lagi membaca fatihah.
  3. Makmum yang lupa membaca fatihah hingga rukuk imam dan sebelum ia rukuk maka teringat bahawa ia masih belum membaca fatihah.
  4. Makmum yang membaca doa iftitah dan ta'awuz lalu imam pun rukuk sedang makmum masih belum sempat menghabiskan bacaan fatihahnya.
  5. Makmum yang dengan sengaja tidak membaca fatihah sebab menanti diam imam lepas membaca fatihah terus rukuk ataupun imam membaca surah yang pendek hingga tidak sempat makmum menghabiskan bacaan fatihahnya.
Dalam keadaan ini wajid atas makmum menghabiskan bacaan fatihahnya dan dia dibolehkan ketinggalan dari imam hingga 3 rukuk yang panjang. Yang dimaksudkan dengan 3 rukuk itu ialah:
  1. Rukuk
  2. Sujud yang pertama
  3. Duduk antara dua sujud.
Jika masuk imam pada rukun yang ke 4 sedangkan makmum masih belum sempurna lagi bacaan fatihahnya maka wajib atas makmum memilih antara dua iaitu:
  1. Mengikut imam dengan ditambah satu rakaat lagi setelah imam selesai memberi salam yang pertama.
  2. Niat mufarakah dari imam (bercerai dari mengikut imam).
Makmum Masbuq
Makmum Masbuq ialah makmum yang tidak dapat membaca fatihah dalam masa imam berdiri maka tidak wajib atasnya menyempurnakan bacaan fatihahnya. Bacaanya hanya sekadar yang dapat dan dikehendaki rukuk bersama-sama dengan imam.

Sebab-sebab Masbuq
  1. Makmum masbuq dikehendaki mengikut imam pada setiap perbuatan dan dikehendaki tambah mana-mana rukun yang tertinggal umpamanya satu rakaat dapat bersama imam pada solat maghrib maka dikehendaki tambah dua rakaat lagi setelah imam memberi salam.
  2. Pada sembahyang Subuh makmum masbuq mestilah berqunut sekali lagi untuk dirinya meskipun ia telah berqunut bersama imam di awal sembahyang tadi.
  3. Jika makmum masbuq sedang membaca surah tiba-tiba imam rukuk maka hendaklah diputuskan bacaan surah itu dan rukuk bersama imam, tidak boleh ditangguh lagi.
  4. Jika imam dalam keadaan sujud atau duduk tahiyat, makmum masbuq hendaklah terus takbiratulihram kemudian duduk bersama imam. Kalaun imam sedang rukuk disunatkan takbir sekiranya dapat tomakninah dalam rukuk itu maka rakaatnya akan dikira.
  5. Jika makmum sedang takbir tiba-tiba imam beri salam maka ia ditegah duduk kerana duduk itu untuk mengikut imam. Jika makmum itu duduk dengan sengaja dan tahu akan tegahannya makan batallah sembahyangnya itu. Tetapi jika ia terlupa atau jahil maka tidaklah batal sembahyangnya itu dan wajib ia bangun dengan segera dan sunat melakukan sujud sahwal pada akhir sembahyangnya itu.

Wednesday, January 14, 2009

Asas Kerukunan Islam

Rukun Islam - Ada 5

Mengucap Dua Kalimah Syahadah
"Aku naik saksi bahawa tida Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruhNya". Dengan syahadah kita mengabdikan diri dengan hati dan sanubari serta pengakuan dari lidah bahawa Tuhan yang Maha Esa itu hanyalah Allah s.w.t. sahaja dan Nabi Muhammad itu adalah rasulNya.

Sembahyang 5 Waktu Sehari Semalam
Dengan menunaikan sembahyang kita telah mengabdikan seluruh jiwa dan raga kita menyembah kepadaNya. Dimulai dengan lidah yang menyebut, tangan yang bergerak, mata, telinga dan fikiran yang berpusat dengan susunan rukun sembahyang yang diajar oleh Rasullah s.a.w.

Berpuasa Di Bulan Ramadan
Dengan berpuasa kita telah mengekang hawa nafsu dan segala keinginan kita terhadap makanan, minuman dan menjauhi segala larangannya semata-mata kerana Allah. Ini secara tidak langsung akan melahirkan rasa keinsafan serta meningkatkan ketakwaan kepada Allah.

Mengeluarkan Zakat
Dengan mengeluarkan zakat kita telah mengabdikan diri kepada Allah dengan menyerahkan sebahagian dari harta milik kita kepada mereka yang berhak menerimanya.

Mengerjakan Haji Di Baitullah
Dengan mengerjakan haji kita telah membuktikan kepada Allah bahawa kita telah melengkapkan diri sebagai seorang muslim yang sejati. Degala keperitan, dugaan dan cabaran diterima dengan rela dan sabar hanya semat-mata untuk Allah.

Rukun Iman - Ada 6

Beriman Kepada Allah
Dengan iman kita membulatkan keyakinan dan menundukkan diri serta hati hanya semata-mata kerana Allah. Secara posotif kita menuju tauhid yang semurninya dan secara negatif menolak segala bentuk pemujaan kepada selain Allah s.w.t.

Beriman Kepada Malaikat
Dengan iman kita mempercayai adanya makhluk ghaib bernama malaikat yang menjalankan tugasnya menurut perintah Allah. Secara positif kita mempercayai kepada alam ghaib yang diberitakan oleh Allah dan secara negatif kita menolak segala bentuk benda ghaib yang tidak diberitakan oleh Allah.

Beriman Kepada Kitab
Dengan beriman kepada kitab suci kita mempercayai adanya kitab-kitab yang Allah turunkan kepada umat manusia melalui utusanNya masing-masing bagi memimpin manusia ke jalan yang selamat dan kitab suci ini diakhiri dengan kitab suci al-Quran.

Beriman Kepada Nabi Dan Rasul
Dengan beriman kepada Nabi dan rasul dan Rasul kita mempercayai adanya manusia pilihan yang diutuskan oleh Allah untuk memberi petunjuk yang diakhiri dengan Nabi Muhammad s.a.w.

Beriman Kepada Hari Kiamat
Dengan iman kita mempercayai bahawa disebalik kehidupan di dunia yang fana ini masih ada lagi kehidupan yang abadi dan berkekalan iaitu suatu tempat penentuan kedudukan manusia sama ada di syurga atau neraka.

Beriman Kepada Qada Dan Qadar
Dengan beriman kepada Qada dan Qadar, kita mempercayai bahawa di samping kita berusaha dan merancang akan kehidupan di dunia ini, Allah telah menentukan segala sesuatu itu dan terletak di dalam kekuasaanNya.

Doa Akhir Tahun

Maksudnya...

Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.s.w. serta keluarga baginda dan para sahabatnya.

Ya Allah ! Sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan laranganMu tetapi aku masih belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azabMu yang telah ditetapkan kepadaku. Engkau telah memerintahkan supaya aku bertaubat daripada kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan dari Engkau, ampunilah aku dan apa yang telah aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya daripada Engkau. Ya Allah ! Ya Karim Ya Zal Jalali Wal Ikram.

Selawat serta salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. dan ke atas keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam...Amin...

Waktu Membacanya...

Doa akhit tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah. Sesiapa yang membaca doa ini maka akan berkata syaitan, "Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada tahun ini dan Allah akan membinasakan aku pada saat itu juga. Dengan sebab membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun."

Sunday, January 4, 2009

Doa Awal Tahun

Maksudnya...

Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarga baginda dan para sahabatnya.

Ya Allah ! Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihanMu yang Maha Agung dan kemurahanMu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun baru ini aku memohon kepada Engkau perlindungan daripada syaitan yang direjam. Dari sekalian kuncunya, tenteranya dan penolongnya. Aku juga memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diriku kepadaMu.

Selawat serta salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. dan ke atas keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam...Amin...

Waktu Membacanya...
Doa ini dibaca 3 kali setelah masuk waktu Maghrib pada malam 1 Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini maka akan berkata syaitan, "Telah amanlah anak Adam daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua orang malaikat untuk memeliharanya dari fitnah syaitan."