Friday, January 16, 2009

Panduan Bersuci

Pengertian Bersuci
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan yang suka menyucikan diri." (Al-Baqarah: 222)

Bersuci atau At-Thoharah ialah suatu pekerjaan yang dilakukan bagi menghilangkan hadas atau najis yang ada di badan, pakaian atau tempat tinggal kita. Ia mesti dibersihkan supaya kita boleh melakukan ibadah. Dalam ajaran agama Islam bersuci adalah sesuatu yang wajib. Sebahagian dari cara bersuci ialah berwuduk, mandi dan membersihkan najis dari badan.

Jenis-jenis Bersuci

i. Bersuci dari hadas kecil.
Apabila berada dalam keadaan begini kita dilarang dari mengerjakan sembahyang dan
menyentuh al-Quran. Cara untuk membersihkannya ialah dengan mengambil wuduk ataupun
bertayammum.

ii. Bersuci dari hadas besar.
Mereka yang berjimak, haid dan nifas adalah termasuk dalam golongan ini. Cara bersuci
darinya ialah dengan mandi junub. Perkara yang ditegah dari melakukannya seperti sembahyang, puasa menunaikan haji, 'iktikaf di dalam masjid dan menyentuh atau membaca al-Quran.

iii. Beristinjak.
Ia bertujuan bagi menghilangkan najis yang keluar dari 2 saluran iaitu qubul dan dubur.

Beristinjak Dan Rukunnya - Ada 3
i. Islam
ii. Menggunakan air, batu, kertas, daun dan benda-benda keras yang suci.
iii. Najis itu mestilah keluar dari qubul dan dubur.

Sunat-sunat Istinjak
i. Haruslah dilakukan dengan bilangan yang ganjil seperti 3x atau 5x atau 7x dan seterusnya.
ii. Menggunakan tangan kiri.

Beristinjak Dengan Batu
Syarat-syarat menggunakan batu atau lain-lain benda yang keras ialah;
i. Pastikan najis itu tidak mengalir.
ii. Pastikan najis masih belum kering.
iii. Pastikan tempat keluar najis itu tidak terhalang oleh benda-benda lain.

Beristinjak Dengan Air
Perlakunya adalah lebih kurang serupa dengan menggunakan batu. Terlebih daulu mestilah dibersihkan sehingga hilang 3 perkara iaitu bau, warna dan rasa. Apabila selesai disunatkan membaca doa.

Benda-benda Bernajis
i. Semua jenis bangkai binatang darat dan laut yang berdarah melainkan mayat manusia.
Binatang darat dan laut yang tidak berdarah dianggap suci.
ii. Darah kecuali hati dan limpa.
iii. Semua jenis benda yang keluar dari qubul dan dubur.
iv. Nanah kerana ia terhasil dari darah yang kotor.
v. Arak dan semua minuman yang memabukkan.
vi. Bahagian binatang yang diambil dari badannya semasa ia masih hidup.

Jenis-jenis Najis
i. Najis Mughallazah
Iaitu anjing dan babi serta segala anggota tubuh badannya. Cara hendak menyucikannya ialah
dengan menyiram sekali air tanah atau air lumpur dan 6 kali dengan air yang bersih.

ii. Najis Mukhalffafah
Ialah najis ringan seprti air kencing anak lelaki yang berumur 2 tahun ke bawah dan hanya
memakan susu ibunya sahaja. Cara menyucikannya ialah memadai dengan memercikkan air
ke atas benda yang terkena najis itu kemudian lapkannya.

iii. Najis Mutawassitah
Ialah najis pertengahan. Najis ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu;

a) Hikmiah adalah najis yang kita yakini adanya tetapi tidak nyata zatnya seperti air kencing
yang sudah lama kering hinggakan sifatnya sudah hilang. Najis ini dicuci dengan
mengalirkan air ke atasnya.

b) Ainah adalah najis yang masih ada zatnya. Najis ini dicuci dengan menghilangkan dan
membersihkan semua zatnya.

Jenis-jenis Air
i. Air Mutlak.
Sifatnya air ini adalah suci lagi menyucikan. Ia boleh diminum dan sah untuk digunakan bagi
menyucikan benda lain. Contohnya iar hujan, laut, perigi, air mata air, salji, sungai dan air
embun.

ii. Air Muqayyat.
Sifatnya suci tetapi tidak boleh menyucikan. Air ini tidak sah digunakan untuk menyucikan
benda lain seperti air kopi, teh, air buah-buahan dan sebagainya.

iii. Air Muttannajis.
Air ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu:

a) Telah berubah salah satu sifatnya iaitu warna, bau dan rasa dengan najis. Air ini tidak
boleh digunakan lagi sama ada ianya banyak atau sedikit.

b) Air bernajis tetapi tidak berubah sifatnya. Air ini jika kurang dari 2 kolah tidak boleh
digunakan lagi tetapi jika 2 kolah atau lebih maka hukumnya suci dan menyucikan.

iv. Air Musyammas.
Ialah air yang terjemur di tengah pancaran matahari dalam bekas selain dari bekas emas
dan perak. Ianya makruh digunakan untuk badan tetapi tidak untuk pakaian.

v. Air Mustaghmal.
Ialah air yang telah digunakan untuk menyucikan benda-benda lain dan sukatannya pula
kurang dari 2 kolah. Air ini tidak sah digunakan untuk bersuci walaupun tidak berubah
sifatnya.