Thursday, January 15, 2009

Kesimpulan Surah Dari Al-Quran

13. AR-RA'DI (Guruh)
Surah Ar-Ra'di terdiri dari 43 ayat dan termasuk dalam golongan surah Madaniyah. Surah ini dinamakan dengan Ar-Ra'di kerana terdapat perkataannya pada ayat 13 yang bererti, "Dan guruh itu bertasbih memujiNya". Sesuai dengan sifat al-Quran itu sendiri yang mengandungi unsur-unsur ancaman dan memberi harapan kepada manusia maka yang demikian itulah surah ini dinamakan Ar-Ra'di, tatkala guruh bergema di langit maka ia akan mencetuskan kecemasan dan harapan kepada manusia.

Bimbingan Allah terhadap umat manusia adalah berkait rapat dengan hukum sebab dan akibat dan Allah juga tidak memilih bulu atau kasih dalam menetapkan hukumannya. Segalanya adalah berdasar kepada ketaatan ataupun keingkaran sesuatu umat terhadap hukumNya.

Di antara pengajaran yang terdapat dalam surah ini adalah seperti Allah lah yang telah menciptakan alam ini dan menguruskannya. Ilmu Allah mencakupi segalanya dan adanya malaikat Hafazah yang sentiasa memelihara manusia.

Manusia dilarang dari mendoakan yang buruk-buruk atau kejahatan untuk dirinya dan mereka juga dilarang dari melakukan perbuatan yang mungkar serta kewajipan untuk mencegah kemungkaran itu sendiri.

Disebutkan juga kisah dan pengalaman beberapa orang nabi terdahulu. Akhir sekali Allah menegaskan yang ia tidak akan mengubah nasib sesuatu umat melainkan mereka mengubahnya sendiri.

14. IBRAHIM (Kisah/Doa Nabi Ibrahim)

Surah Ibrahim mengandungi 52 ayat dan terdiri dari surah Makiyah. Dinamakan dengan Ibrahim kerana terdapat doa Nabi Ibrahim di dalamnya pada ayat 35 - 41. Antara maksud kandungan doa Ibrahim itu ialah permintaannya kepada Allah agar dikurniakan keturunan yang sentiasa mendirikan solat dan tidak menyembah kepada patung-patung atau berhala. Diminta juga supaya negeri Mekah dan daerah di sekitarnya menjadi sebuah negeri yang aman dan makmur. Doa ini dipanjatkan oleh Ibrahim ketika selesai mendirikan bangunan Kaabah bersama puteranya Ismail a.s.

Antara pengajaran dari surah ini, Allah menerangkan al-Quran itu adalah pembimbing manusia ke jalan kebenaran dan keingkaran manusia dari mengikutinya sedikit pun tidak akan menjejasNya. Semua para nabi dan rasul telah diberikan mukjizat di atas keizinanNya dan Allah berkuasa mematikan dan menghidupkan semula manusia dalam dunia yang baru.

Dalam surah ini juga Allah telah memerintahkan supaya tetap dalam mendirikan solat serta menafkahkan sedikit dari hartanya ke jalan Allah.

Dalam surah ini juga terdapat kisah Nabi Musa a.s. dan sebab-sebab kenapa setiap rasul diutus dengan bahsa kaumnya sendiri. Diceritakan juga tentang kejadian langit dan bumi berserta hikmahnya dan juga bermacam-macam nikmat yang telah dianugerahkan kepada manusia.

15. AL-HIJR (Nama sebuah daerah)

Surah ini mengandungi 99 ayat dan diturunkan di Mekah. Al-Hijr adalah nama sebuah daerah di pergunungan yang pernah didiami oleh kaum Samud (umat Nabi Saleh) terletak di pinggir jalan antara Madinah dan Syam (Syria). Nama surah ini diambil dari nama tempat tersebut kerana berhubungan dengan nasib penduduk pergunungan tersebut yang telah dimusnahkan oleh Allah kerana mendustakan Nabi Saleh serta berpaling dari ayat Allah dan kisahnya terdapat pada ayat 80 - 84. Dalam surah ini juga diceritakan tentang umat-umat nabi lain yang telah dibinasakan seperti umat Nabi Luth dan umat Nabi Syu'aib.

Pengajaran yang terdapat di dalam surah ini ialah seperti syaitan tidak akan dapat menaiki alam malakut kerana ia sentiasa dijaga oleh malaikat. Kadar rezeki yang diebrikan oleh Allah kepada setiap hambanya mengikut kebijaksanaanNya dan semua manusia akan dihimpunkan pada hari kiamat serta perintah melakukan ibadah kepada Allah selama hayatnya.

Di dalam surah ini juga terdapat larangan melakukan homeseksual dan mengambil harta orang kafir. Allah juga telah memerintakan Nabi Muhammad s.a.w. menyampaikan dakwah secara terang-terangan kepada kaum kafir Quraisy dan jangan berputus asa terhadap kerenah mereka.

16. AN-NAHL (Lebah)

Surah ini mengandungi 128 ayat dan terdiri dari surah Makiyah. Surah ini dinamakan An-Nahl (lebah) kerana terdapat firman Allah paada ayat 68 yang bermaksud, "Dan Tuhanmu telah mewahyukan kepada lebah". Lebah adalah makhluk Allah yang banyak memberi manfaat kepada manusia di mana madu bunga yang dikumpul oleh lebah tersebut dari berbagai jenis bunga-bungaan boleh menjadi ubat dan merawati berbagai jenis penyakit dalaman serta baik untuk kesihatan manusia. Demikian jugalah dengan al-Quran sebagai kiasannya yang boleh merawati penyakit hati manusia serta mendorong ke arah jalan hidup yang sihat dan sempurna.

Di dalam surah ini terdapat berbagai hukum serta larangan kepada manusia antaranya mengenai makanan dan minuman yang dihalalkan dan diharamkan, membolehkan memakan makanan yang haram di waktu darurat atau terpaksa, menggunakan kulit dan bulu haiwan yang halal dimakan, membolehkan memakai perhiasan dari lautan seperti mutiara dan marjan, kewajipan memenuhi janji, larangan mempermainkan sumpah, larangan membuat sesuatu hukum yang tiada asas dasarnya dan larangan membalas seksaan melebihi dari kadar yang diterima.

Surah ini juga menyentuh mengenai nasib pemimpin palsu di hari kiamat kelak dan sikap orang jahiliah Arab terhadap anak perempuan mereka.

MAKMUM MUWAFIQ & MASBUQ

Makmum Muwafiq
Makmum Muwafiq ialah makmum yang dapat membaca surah fatihah dalam masa berdiri imam dengan kiraan pertengahan / sederhana maka wajib ke atas makmum membaca fatihah dengan sempurna.

Sebab-sebab Muwafiq
  1. Makmum yang lambat membaca kerana kelemahan semulajadi.
  2. Makmum yang syak sebelum rukuk dan kemudian dari rukuk imam lalu ia teringat yang ia belum lagi membaca fatihah.
  3. Makmum yang lupa membaca fatihah hingga rukuk imam dan sebelum ia rukuk maka teringat bahawa ia masih belum membaca fatihah.
  4. Makmum yang membaca doa iftitah dan ta'awuz lalu imam pun rukuk sedang makmum masih belum sempat menghabiskan bacaan fatihahnya.
  5. Makmum yang dengan sengaja tidak membaca fatihah sebab menanti diam imam lepas membaca fatihah terus rukuk ataupun imam membaca surah yang pendek hingga tidak sempat makmum menghabiskan bacaan fatihahnya.
Dalam keadaan ini wajid atas makmum menghabiskan bacaan fatihahnya dan dia dibolehkan ketinggalan dari imam hingga 3 rukuk yang panjang. Yang dimaksudkan dengan 3 rukuk itu ialah:
  1. Rukuk
  2. Sujud yang pertama
  3. Duduk antara dua sujud.
Jika masuk imam pada rukun yang ke 4 sedangkan makmum masih belum sempurna lagi bacaan fatihahnya maka wajib atas makmum memilih antara dua iaitu:
  1. Mengikut imam dengan ditambah satu rakaat lagi setelah imam selesai memberi salam yang pertama.
  2. Niat mufarakah dari imam (bercerai dari mengikut imam).
Makmum Masbuq
Makmum Masbuq ialah makmum yang tidak dapat membaca fatihah dalam masa imam berdiri maka tidak wajib atasnya menyempurnakan bacaan fatihahnya. Bacaanya hanya sekadar yang dapat dan dikehendaki rukuk bersama-sama dengan imam.

Sebab-sebab Masbuq
  1. Makmum masbuq dikehendaki mengikut imam pada setiap perbuatan dan dikehendaki tambah mana-mana rukun yang tertinggal umpamanya satu rakaat dapat bersama imam pada solat maghrib maka dikehendaki tambah dua rakaat lagi setelah imam memberi salam.
  2. Pada sembahyang Subuh makmum masbuq mestilah berqunut sekali lagi untuk dirinya meskipun ia telah berqunut bersama imam di awal sembahyang tadi.
  3. Jika makmum masbuq sedang membaca surah tiba-tiba imam rukuk maka hendaklah diputuskan bacaan surah itu dan rukuk bersama imam, tidak boleh ditangguh lagi.
  4. Jika imam dalam keadaan sujud atau duduk tahiyat, makmum masbuq hendaklah terus takbiratulihram kemudian duduk bersama imam. Kalaun imam sedang rukuk disunatkan takbir sekiranya dapat tomakninah dalam rukuk itu maka rakaatnya akan dikira.
  5. Jika makmum sedang takbir tiba-tiba imam beri salam maka ia ditegah duduk kerana duduk itu untuk mengikut imam. Jika makmum itu duduk dengan sengaja dan tahu akan tegahannya makan batallah sembahyangnya itu. Tetapi jika ia terlupa atau jahil maka tidaklah batal sembahyangnya itu dan wajib ia bangun dengan segera dan sunat melakukan sujud sahwal pada akhir sembahyangnya itu.