Tuesday, July 20, 2010

Pendapat Al Imam Maliki

Kita masih lagi dalam topik 'Kadar Najis Yang DiMaafkan Ulamak'. Kali ini diutarakan pula pendapat Al Imam Maliki.

Pada pendapat Imam Maliki jumlah atau kadar najis yang dimaafkan itu mestilah sedikit iaitu sekadar satu bulatan hitam kecil yang terdapat pada kaki hadapan binatang baghal ataupun kurang daripada kadar itu.

Contoh-contoh najis yang dimaafkan itu adalah seperti:
  1. Apa-apa saja najis yang susah hendak dielakkan ketika mahu mengerjakan sembahyang ataupun ketika mahu memasuki masjid adalah dimaafkan.
  2. Berlaku hadas kecil atau hadas besar dengan sendirinya tanpa dikehendaki ataupun dengan sebab penyakit seperti keluarnya air kencing, air mazi, air mani ataupun najis dari lubang dubur maka semua ini dimaafkan dan tidak perlu membasuhnya kerana darurat jika ia berlaku setiap hari walaupun sekali dalam sehari.
  3. Berlakunya bawasir pada setiap hari jika terkena pada badan ataupun pakaian.
  4. Air kencing atau najis kanak-kanak kecil yang terkena pada pakaian ibu yang meneteknya atau badannya sekalipun anak itu bukan anaknya dengan syarat ia telah cuba mengelakkannya ketika najis itu sedang keluar. Tetapi jika terkena najis itu dengan sebab cuai maka ia tidak dapat dimaafkan. Ketetapan hukumnya juga adalah sama jika ia berlaku kepada tukang sembelih, pembersih kandang. pencuci tandas dan doktor atau sebagainya. Namun adalah disunatkan bagi mereka yang disebutkan ini agar menyediakan pakaian khas untuk melakukan ibadah solat.
  5. Najis atau air kencing keldai, baghal atau kuda yang terkena pada pakaian atau badan atau tempat sembahyangnya dengan syarat orang itu mestilah pengembalanya ataupun penjaganya.
  6. Kesan najis yang terdapat pada kaki lalat ataupun nyamuk kemudian ia hingap di atas pakaian atau badan.
  7. Kesan cacah tatu yang sukar untuk dihilangkan.
  8. Darah binatang darat.
  9. Bisul atau nanah sama ada ia mengalir dengan sendirinya ataupun dengan picit.
  10. Darah atau najis kutu anjing dan juga kutu manusia.
  11. Air yang keluar dari usus melalui mulut seseorang yang sedang tidur dengan sebab penyakit.
  12. Bekas atau kesan dari istinja' yang menggunakan anak batu atau kertas bagi orang lelaki dengan syarat najisnya tidak melebihi dari kadar yang biasa.

Pendapat Al Imam Hanafi

Kita sambung lagi daripada topik lalu berkaitan 'Kadar Najis Yang DiMaafkan Ulamak'. Kali ini kita ikuti pula pendapat Al Imam Hanafi.

Imam Hanafi berpendapat dengan mengatakan kadar najis yang dimaafkan itu adalah dengan melihat kepada jenis najis itu sendiri sama ada dari jenis yang berat (mughallazah) ataupun dari jenis yang ringan (mukhaffafah). Ianya diberikan kemaafan sama ada kerana darurat ataupun terlalu sukar untuk mengelakkan diri dari terkena najis tersebut.

Najis yang dimaafkan itu kadarnya mestilah sedikit seperti:
  1. Bagi najis mughallazah yang kering kadarnya tidak melebihi dari 3.17gm dan bagi najis yang basah pula kadarnya tidak sampai segenggam tapak tangan.
  2. Bagi najis mukhaffafah kadarnya mestilah tidak sampai dari 1/4 pakaian tersebut. Jika terkena pada anggota tubuh badan pula kadarnya juga tidak sampai 1/4 anggota tersebut seperti kaki atau tangan.
  3. Percikan air kencing atau najis binatang yang terkena pada pakaian atau makanan kerana darurat.
  4. Percikan dari air basuhan.
  5. Percikan dari air kencing manusia seperti besar kepala jarum kerana darurat tetapi jika ia terjatuh ke dalam air yang sedikit maka dikira bernajis.
  6. Percikan darah binatang yang terkena pada pakaian atau badan tukang sembelih.
  7. Percikan dari air mandian mayat.
  8. Darah yang masih terdapat dalam urat saraf binatang yang disembelih dan begitu juga dengan jantung, hati dan limpa ini kerana ia dari darah yang tidak mengalir.
  9. Darah serangga seprti pijat, kutu, unggas, nyamuk dan sebagainya sekalipun banyak.
  10. Darah ikan.
  11. Air liur keldai dan himar.
  12. Darah orang yang mati syahid sekalipun darah itu mengalir.
  13. Wap dan debu najis kerana darurat.
  14. Najis burung yan harus dimakan dagingnya jika ia berak di udara maka dihukum bersih tetapi jika tidak berak di udara maka ianya dihukum sebagai najis ringan (mukhaffafah).