Saturday, August 7, 2010

KISAH NABI ADAM A.S. - Bah. 3

Setelah mendengar teguran Allah itu sedarlah Adam bahawa ia telah melanggar perintah Allah dan melakukan dosa besar seraya menyesallah ia lalu berkata. "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri sendiri serta melanggar perintahMu kerana termakan pujukan iblis. Ampunilah dosa kami, jika tidak nescaya kami akan tergolong dalam orang-orang yang rugi bila Engkau tidak menganpuni dan mengasihani kami."

Allah menerima taubat Adam dan Hawa itu akan tetapi Allah telah menetapkan dalam takdirNya apa yang tidak terlintas oleh hati dan terfikirkan oleh mereka. Allah telah menentukan dalam takdirNya bumi yang penuh dengan tanda kebesaran, kekayaan dan keagongan Tuhan akan diwariskan kepada manusia lalu diturunkan Adam dan Hawa sebagai benih pertama untuk memerintah bumi.

Firman Allah, "Turunlah kamu ke bumi, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, tinggallah kamu di sana sehingga sampai waktu yang telah ditentu."

Turunlah Adam dan Hawa ke bumi menghadapi cabaran hidup yang berbeza sama sekali dengan kehidupan di syurga yang suatu ketika dulu pernah mereka kecapi. Mereka akan menempuh dengan berbagai getir yang tidak pernah dialami sebelum ini.

Dari zuriatnya mereka akan melahirkan umat manusia yang berbagai ragam, sifat dan tabiat, berbeza warna kulit, suku kaum dan bangsa. KIsah Nabi Adam terdapat di dalam Al Quran seperti Al Baqarah 30-38. Al-'Araf-25.

No comments:

Post a Comment